JellyPages.com

Followers

Tuesday, 14 May 2013

Pemilihan Bahan Bacaan


Aktiviti membaca merupakan sesuatu yang amat penting kepada setiap individu termasuklah pelajar.Pemilihan bahan bacaan haruslah bersesuai dengan tahap dan minat pembaca agar bacaan dapat difahami dengan jelas. Terdapat beberapa prinsip yang harus kita lihat dalam aspek pemilihan bahan bacaan.



(a)   PRINSIP PEMILIHAN

1.   Faktor pembaca
Bahan bacaan mampu mempengaruhi pendidikan akhlak kanak-kanak ataupun para pelajar. Contohnya, seseorang individu yang sering membaca bahan bacaan yang berbentuk motivasi, secara tidak langsung mereka cenderung untuk memotivasikan diri dalam setiap tingkah lakunya. Walau bagaimanapun, bahan bacaan juga mampu menjadi medium dalam merosakkan akhlak seseorang. Umpamanya, bahan bacaan ringan berbentuk hiburan, lucah dan bukan ilmiah banyak menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat kerana kurang mengandungi elemen nilai murni yang dapat memberi kesan positif kepada akhlak individu.

2.   Faktor bahan
Terdapat beberapa prinsip pemilihan bahan, antaranya bahan tersebut mestilah bersesuaian, mencabar,  menarik, jimat dan mudah dan praktikal.

Bahan yang sesuai bermaksud bahawa bahan tersebut perlu bersesuaian untuk dipelajari dan diikuti oleh para pelajar. Pemilihan bahan bacaan tersebut perlulah berkait dengan aspek objektif dan matlamat pengajaran bahasa, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran, keadaan pelajar, suasana pembelajaran dan minat pelajar. Dalam hal ini, bahan pengajaran yang dipilih oleh guru perlulah sesuai dengan matlamat dan objektif pengajaran. Misalnya bahan tersebut berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPN), budaya, adat resam, agama dan kepercayaan masyarakat tempatan. Guru juga perlu peka dengan keadaan pelajarnya yang memiliki latar belakang yang berbeza, iaitu sama ada daripada segi ekonomi mahupun pendidikan. Dalam pada itu, suasana pembelajaran perlu awasi bagi menjamin keberkesanan dalam pembelajaran tersebut.

Bahan yang mencabar dapat dikategorikan sebagai bahan yang dapat merangsang pelajar untuk berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar. Ciri-ciri bahan yang mencabar adalah seperti berikut: 
  • Daripada bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak. 
  • Daripada bahan yang mudah kepada bahan yang kompleks.
  • Daripada bahan yang mengandungi fakta terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu.
  • Daripada bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif).
  • Daripada bahan yang umum kepada bahan yang khusus (deduktif).
  • Daripada bahan yang umum kepada bahan yang berbentuk teori.   
  • Daripada bahan masa kini kepada bahan pada masa akan datang.
Bahan bacaan yang menarik pula dapat dihasilkan dengan menggunakan kaedah berikut:
  • Melalui teknik reka letak seperti peta, lukisan,carta, jadual, graf, rajah, gambar, atau karun.Setiap daripada reka letak ini perlu disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan kerana dapat memudahkan pelajar membuat rujukan atau memahami sesuatu konsep.
  • Saiz huruf juga haruslah sesuai dengan peringkat umur pelajar.
  • Penggunaan ilustrasi dan bahan grafik. Kaedah ini berfungsi sebagai penghias bahan  pengajaran dan manifestasi visual sesuatu maklumat yang dapat mengukuhkan pemahaman dalam sesuatu bacaan.
  • Kualiti kulit dan cara buku dijilidkan turut memainkan peranan dalam meningkatkan tarikan pelajar terhadap sesuatu bahan bacaan.
  • Bahan pengajaran tersebut juga perlu mengandungi arahan yang jelas.

Selain itu, bahan bacaan pengajaran perlulah dalam bentuk mudah dan menjimatkan para guru dan pelajar. Misalnya, guru boleh menggunakan kreativiti yang dimiliki untuk menghasilkan bahan bacaan tanpa mengeluarkan wang yang banyak. Bahan yang dipilih juga hendaklah bersifat mudah alih, iaitu mudah untuk dibawa ke mana-mana dan tidak terlalu berat ataupun besar.

Prinsip pemilihan bahan yang seterusnya ialah bahan tersebut perlu bersifat praktikal sama ada kepada guru ataupun pelajar. Dalam hal ini, bahan bacaan tersebut mestilah digambarkan ke dalam situasi yang sebenar oleh guru dan pelajar dengan menggunakan gaya dan bentuk bahasa yang tepat. Kaedah ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

(b)  KEBOLEHBACAAN

1.   DEFINISI
Ada beberapa definisi kebolehbacaan. Namun demikian secara umumnya definisi kebolehbacaan dilihat dari tiga aspek utama iaitu:

i.     Kaitan kebolehbacaan  dengan bahan bacaan
ii.    Kaitan kebolehbacaan  dengan pembaca 
iii.   Kaitan kebolehbacaan  dengan tingkahlaku ketika membaca.

Marohaini Yusoff mentakrif  kebolehbacaan merupakan satu konsep yang merujuk kepada tahap atau darjah susah senangnya sesuatu bahan untuk dibaca. Bahan yang susah dibaca dikatakan mempunyai kebolehbacaan yang tinggi. Manakala bahan yang senang dikatakan mempunyai tahap kebolehbacaan yang rendah. Tahap kebolehbacaan sesuatu bahan bacaan dapat diukur apabila bahan itu dibaca (1999: 21)

2.    TUJUAN MERAMAL KEBOLEHBACAAN
Tujuan utama meramal kebolehbacaan adalah untuk memenuhi keupayaan membaca yang berbeza di kalangan pembaca.

3.    FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEBOLEHBACAAN





Sunday, 12 May 2013

Kesimpulan


Membaca merupakan satu amalan yang seharusnya dipupuk sedari kecil malah ia adalah satu kemahiran yang seharusnya 'diasah' dalam usaha memantapkan lagi tahap pembacaan. Ini kerana membaca adalah satu amalan mulia yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan sepatutnya juga menjadi aktiviti harian. Keupayaan Membaca dalam kalangan individu adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini. Oleh itu, guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan pengajaran bacaan secara berkesan. Malah,pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu kaedah, maka guru hendaklah menetapkan langkah-langkah yang disarankan dalam kaedah itu.



Pendekatan Dalam Mengajar Membaca


1. Bacaan Kuat

Bacaan kuat ialah bacaan mekanis iaitu menyuarakan tulisan dengan suara yang jelas dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengasn menggerakkan alat-alat pertuturan. Bacaan kuat biasanya dilaksanakan di kelas-kelas Tahap 1 atau pada peringkat permulaan. Digunakan untuk latihan teknik supaya kanak-kanak dapat membunyikan perkataan atau ayat dengan sebutan gaya dan renatk irama yang betul. Membaca kuat merupakan amalan berkesan dan ujian kepada kebolehan murid membaca secara keseluruhannya.

Teknik Membaca Kuat.

  •  Guru membahagikan murid mengikut kumpulan.
  •  Guru mengajar pelajar pegang buku dengan cara yang betul.
  •  Membaca dengan penuh perasaan.
  •  Guru bermain dengan isyarat tangan dan memek muka.
  •  Guru menetapkan gaya bahasa yang mudah ketika mengajar.
  •  Guru menetapkan penumpuan mata.
  •  Guru berhenti membaca pada tempat-tempat yang betul.
  •  Menilai secara berkesan.
Aktiviti Bacaan Kuat.
  • Pertandingan membaca.
  • Membaca rencana/ isu semasa di dalam kelas.
  • Mendeklamasi puisi.
  • Spelling Bee.
  •  Coral Speaking.
  • Kuiz.
  • Sketsa.
  • Membaca dan menulis rencana.
2. Bacaan Bersama

Bacaan bersama boleh didefinisikan sebagai satu pendekatan pembelajaran membaca yang berkesan secara berkongsi membaca. Konsep bacaan bersama mempunyai tukang cerita dan pendengarnya. Pada peringkat awal bahan bacaan yang digunakan bertujuan memastikan murid mendapat idea yang disampaikan. Ingatan murid lebih mantap dan kadar minat membaca semakin bertambah.

 Objektif :


*Guru memupuk minat murid membaca bersama
*Guru mengembangkan idea murid dari bahan bacaan mudah kepada yang lebih      
  mencabar.
*Guru memantapkan kemahiran mendengar melalui bahan audio seperti kaset dan pita 
  rakaman.
*Guru memupuk nilai-nilai murni.

Strategi Bacaan Bersama :

 Pemilihan bahan cerita
-Guru mempelbagaikan bahan sama ada dari bahan buku dan bukan buku.
     
Konsep membaca.
-Kumpulan kecil dan secara kelas.
     
Pengagihan murid.
-Kumpulan murid lemah dengan murid pandai.
-Guru mewujudkan bacaan melalui rakan sebaya.

 Peruntukan masa
-Bahan cerita bersesuaian dengan tempoh masa tertentu.
-Rancang jumlah bahan mengikut keupayaan murid.
     
Aktiviti Bacaan Bersama :
  • Guru membaca bersama beberapa orang pelajar menggunakan bahan yang sama.
  •  Seorang pelajar membaca bersama beberapa orang pelajar lain.
  •  Ibu atau bapa membaca bersama-sama anak-anak di rumah, atau di taman.
  •  Membaca bersama jiran tetangga.

3. Bacaan Berpasangan

Bacaan berpasangan ialah satu teknik membaca bersama, seorang dengan murid yang lain atau seorang murid dengan seorang dewasa. Murid-murid diberi kebebesan memilih bahan bacaan mengilut tahap kebolehan masing-masing berdasrkan garis panduan yang diberi oleh guru. Bacaan berpasangan memerlukan pembacaan secara kuat dan ianya memberikan persaingan yang sihat kepada murid-murid yang terlibat.

     Klasifikasi Bacaan Berpasangan :

  • Murid dengan rakan sebaya.
  • Murid dengan guru.
  • Murid dengan ibu bapa.
  • Murid dengan pembimbing yang lebih dewasa.
 Objektif :
  • Memupuk keyakinan diri.
  • Membetulkan kesalahan sebutan.
  • Berkongsi maklumat mengenai bahan bacaan.
  • Menanam sikap bekerja secara berpasukan.
  • Memilih bahan bacaan yang sesuai dengan minat dan tahap murid.
  Murid dengan Guru.
     Cara Bacaan :
  • Membaca kuat, terang dan jelas.
  •    Membaca tanpa diganggu/ teguran.
  •    Betulkan pada bahagian yang salah sahaja.
  •    Membaca kuat secara sendirian.
  •   Membaca senyap.



4.  Penilaian dan Rekod Membaca
Penilaian adalah satu proses pengumpulan data yang sistematik untuk melihat sejauh mana keberkesanan sesuatu program yang dijalankan. Rekod bacaan merupakan catatan hasil daripada pembacaan sesuatu bahan untuk dijadikan pandan dan menilai semula pemahaman.

Pengurusan ketika Mengajar :
Masalah utama yang dihadapi oleh guru ialah pengumpulan dan penyimpanan rekod-rekod penilaian. Bagi mengatasi masalah-tersebut beberapa faktor perlu diambil perhatian: 

# Jadual waktu atau peraturan kelas.
# Bentuk susunan fizikal dan penyimpanan bahan.
#  Memastikan bahawa murid mengetahui masa untuk mencatat rekod.
# Melibatkan murid dalam mengendalikan dan mencatat rekod untuk keperluan sendiri.
# Menyediakan format merekod yang mudah digunakan oleh semua guru.
# Menetapkan masa untuk menganalisis dan mengemas kini maklumat.

Aktiviti :
  • Kempen membaca.
  • Klinik membaca.
  • 10 minit membaca.
  • Bacaan senyap (silent reading).
  • Minggu/bulan membaca.
  • Bacalah sayang.
  • Pesta/ pameran buku.
  • Sudut bacaan.
  • Bercerita.
  • Buku skarp.
  • Khemah membaca (reading camp).
  • Ceramah buku (book talk).


Masalah Dalam Membaca


FAKTOR MASALAH MEMBACA 

Terdapat tiga faktor masala membaca iaitu :

 i. Faktor fizikal
ii. Faktor kognitif dan bahasa
iii.Faktor emosi, persekitaran dan pendidikan



Faktor Fizikal

Faktor fizikal yang mempengaruhi masalah bacaan adalah seperti masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah neurologikal seperti kerosakan otak (serebral palsi, aphasia, terencat akal dan sebagainya) dan juga yang bermasalah kesihatan (epilepsi, masalah jantung, kurang zat makanan yang serius dan sebagainya).

Faktor Kognitif dan Bahasa

Faktor Kognitif dan Bahasa Kanak-kanak yang tahap kecerdasannya rendah dan yang terencat akal akan menghadapi masalah dalam bacaan yang serius. Selari dengan masalah ini ialah tahap kognitif yang rendah sehingga menyebabkan proses memperolehi kemahiran membaca menjadi sangat sukar.

         Faktor bahasa melibatkan bahasa penerimaan (receptive language) yang melibatkan keupayaan semantik dan sintaksis. Faktor Emosi, Persekitaran, dan Pendidikan Masalah membaca kebiasaannya wujud seiring dengan faktor-faktor emosi yang memberi kesan yang besar terhadap penyesuaian individu dan sosial kanak-kanak.

Faktor emosi, persekitaran dan pendidikan

Masalah penyesuaian mungkin berpunca daripada faktor-faktor fizikal atau perawakan dan persekitaran yang boleh menyebabkan kegagalan membaca. Kegagalan membaca menjadikan kanak-kanak kecewa dan menjejas emosi mereka.

               Faktor persekitaran bagi kanak-kanak yang kurang beruntung seperti tidak mendapat kasih sayang keluarga, kurang zat makanan, tiada galakan keluarga, dan sebagainya akan menjejaskan pencapaian mereka dalam pelajaran termasuk keupayaan membaca.

          Faktor pendidikan adalah seperti tidak menyediakan peluang pengajaran secara individu, tidak memberi perhatian terhadap kesediaan membaca kanak-kanak, mengabaikan kemahiran membaca dalam kebanyakan aktiviti sekolah dan penggunaan teknik pengajaran yang kurang berkesan.

MASALAH DALAM KEFAHAMAN BACAAN

Antara masalah dalam kefahaman bacaan adalah:

I. Gagal memahami maksud perkataan dan frasa yang berkaitan dengan waktu seperti selepas, sudah, 
        sebelum, pagi, sekejap, dan sebagainya.

II.    Tidak memahami maksud perkataan dalam pelbagai situasi.

III.   Gagal memahami atau membuat urutan idea atau peristiwa yang terdapat dalam bahan bacaan
        terutamanya apabila diminta menceritakan semula petikan yang dibaca.

IV.   Lambat memberi tindak balas terutamanya apabila tidak memahami arahan yang dibaca.

V.    Gagal menghubungkan sebab dan akibat dalam bahan bacaan yang dibaca.

VI.  Tidak dapat mengenal pasti perkara yang tidak munasabah (absurdities) dalam bahan yang dibaca.

VII. Tidak dapat mentafsir atau menggunakan carta, graf, peta, rajah, dan sebagainya dalam buku.


MENGESAN MASALAH DALAM PEMBACAAN

Guru perlu memerhati tingkah laku yang ditunjukkan semasa murid membaca yang boleh menunjukkan murid itu bermasalah dalam bacaan. Antaranya ialah:

I. Membatang suku kata terlebih dahulu sebelum dapat menyebut seluruh perkataan

II. Bacaan tersekat-sekat iaitu perkataan demi perkataan dan tidak lancar

III. Teragak-agak (hesitation) - teragak-agak bermaksud berhenti sejenak sebelum menyebut sesuatu
        perkataan ketika membaca.

IV. Membaca terlampau cepat atau gopoh tanpa menghiraukan tanda bacaan

V. Membaca terlampau lambat atau merangkak-rangkak

VI. Menunjuk perkataan dengan jari ketika membaca

VII. Tingkah laku yang tidak selesa seperti mengelip-ngelipkan  mata, mengerut dahi, menggeleng kepada
         dan sebagainya

VIII. Suara terlalu perlahan dan tidak jelas atau “blurring”

IX. Kedudukan mata terlalu dekat dengan bahan bacaan

X. Cuba mengelak daripada aktiviti membaca

XI. Tidak boleh membaca langsung

MENGATASI MASALAH DALAM PEMBACAAN

I. Kaunseling dan bimbingan yang diberikan oleh guru-guru yang berpengalaman

II. Membacakan buku-buku cerita atau menggunakan teknik flash-cards.

III. Galakkan kanak-kanak mengeja dan menyebut perkataan tetapi jangan menggunakan paksaan.

IV. Interaksi keluarga dan pengaruh psikososial seperti galakan yang diterimanya, peluang-peluang serta
        sumber-sumber bacaan yang terdapat di rumah.

V. Guru menunjukkan kad bergambar dan semua murid dikehendaki menyebut nama benda yang dilihat.

VI. Guru menunjukkan dan membaca kad-kad perkataan dan kemudian murid-murid akan mengikut guru.

VII. Murid-murid dikehendaki memadankan kad-kad perkataan dengan gambar.

VIII. Selepas itu, semua murid akan membaca kad-kad perkataan beberapa kali dengan bimbingan guru.

IX. Kemudian, murid-murid akan membaca tanpa dibimbing.

X. Setelah mahir dalam bacaan, setiap murid akan mula menulis ayat pada buku.


Belajar Membaca


Literasi bahasa berlaku secara serentak dengan menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca, menulis dan berfikir. Dalam aspek membaca, kesediaan dalam proses pembacaan amat penting bagi seseorang. Seandainya tahap ini tidak dapat dicapai, proses pembelajaran membaca akan mengalami kesukaran malah mendatangkan kesan buruk kapada pembaca lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak.

Kumpulan sasaran membaca dapat dikategorikan dalam kalangan kanak-kanak dan murid-murid. Kemampuan seseorang murid membaca dan memahami sesuatu bahan sangat berkait dengan kejayaan dan keberkesanan dalam sistem pendidikan. Membaca juga merupakan proses lanjutan daripada kemahiran mendengar dan bertutur kerana melalui proses inilah kemahiran membaca diperoleh.

TAHAP AWAL MEMBACA


Terdapat lima peringkat dalam proses awal membaca:

              1. Proses mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
    II.       2. Mengaitkan lambang atau perkataan yang dilihat dengan bunyi dan makna.
 III.         3. Menterjemah makna perkataan dan mengaitkannya dengan pengetahuan sedia ada.
 IV.         4. Mengumpul dan mencantum idea, perkataan dan ayat menjadi satu idea yang lengkap.
    V.       5. Menghurai dan menjelaskan idea yang didapati kepada diri sendiri, atau kepada orang lain.

KEFAHAMAN MEMBACA

Terdapat empat tahap kefahaman bacaan iaitu:
             1. Tahap literal
    II.      2.Tahap inferens
 III.        3.Tahap penilaian
 IV.        4.Tahap kreatif

INGATAN DALAM MEMBACA

Kemahiran membaca tidak lengkap jika tidak melalui proses mengingat. Segala fakta yang dibaca hendaklah disimpan agar tidak lupa untuk dikeluarkan apabila diperlukan. Antara beberapa kaedah yang dapat membantu mempertingkatkan teknik mengingat ialah:

                 1. Hafal isi yang dibaca
    II.         2. Susun isi dengan betul
 III.           3. Tentukan perkara yang perlu diingat
 IV.           4. Uji kemampuan daya ingatan
    V.         5. Cuba ingat semula apa yang telah dibaca
 VI.           6.  Menggunakan kaedah akrostik
VII.           7. Menggunakan kaedah bunyi seakan
VIII.          8. Menggunakan teknik pembahagian nombor
 IX.           9. Menggunaan sistem irama
    X.         10. Menggunakan kaedah akronim
 XI.           11. Menggunaan sistem gambar

MODEL MEMBACA
               1. Model psikolinguistik
    II.        2. Model membaca Clay (1991)
 III.          3. Model membaca Schraw dan Bruning (1996)

Teori Membaca


Bagi memahami dengan lebih jelas proses membaca, kita perlu mengetahui dahulu teori-teori membaca. Terdapat tiga teori utama dalam proses membaca iaitu :
i.     Teori Psikologi
ii.    Teori Kognitif.
iii.   Teori Linguistik.

2.1       Teori Psikologi.

Dalam teori psikologi, terdapat model behavioris yang berkaitan dengan proses membaca. Menurut model ini, semua pembelajaran yang melibatkan proses pembentukan tabiat atau kebiasaan melalui hubungan antara rangsangan dan tindak balas.
            
Dalam bidang bacaan, model ini boleh diaplikasikan kepada proses membaca. Untuk menguasai kemahiran membaca, seseorang perlu berlatih membaca dengan mengecam huruf kemudian diikuti dengan mengecam perkataan. Selain daripada mengecam perkataan, model ini juga turut mengemukakan seseorang perlu mendapat makna daripada perkataan dan ayat secara automatic setelah menguasai kemahiran membaca.
            
Menurut model ini lagi, sesuatu tingkah laku akan menjadi kebiasaan jika dibuat secara berulang kali. Hal ini juga sama seperti dalam pembacaan. Kebolehan membaca akan bertambah baik jika kemahiran yang berkaitan dengannya dibuat secara berulang kali.


2.2       Teori Kognitif.

Kebanyakkan daripada ahli dalam teori kognitif ini merupakan ahli bahasa yang percaya bahawa perkembangan bahasa adalah sebahagian daripada proses perkembangan seseorang individu. Ahli teori ini berpendapat bahawa membaca adalah kemahiran kognitif yang kompleks.
           
Teori ini menganggap membaca itu sebagai suatu pengumpulan, memproses serta menggunakan maklumat dan tidak hanya bertindak balas terhadap bahan bacaan. Toeri ini menolak anggapan bahawa kemahiran berbahasa boleh diperoleh melalui pembentukan kebiasaan atau tabiat melalu ikatan rangsangan dan tindak balas.




2.3       Teori Linguistik.

Teori linguistic adalah teori bahasa yang mengatakan bahawa seseorang kanak-kanak boleh menggunakan kebolehan berbahasa yang diperoleh sejak lahir untuk mendapatkan pengetahuan daripada persekitarannya.
          
  Teori ini telah mendefinisikan membaca sebagai proses psikolinguistik yang memperlihatkan makna diperoleh melalui hubungan media linguistic. Mengikut teori ini, membaca bukan sahaja proses mengatur huruf sehingga menjadi perkataan dan rangkai kata kepada ayat, tetapi membaca sebenarnya adalah proses mendapatkan makna pada tahap dalaman.




Definisi Membaca



  • Membaca merupakan satu kemahiran yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran membaca perlu diajar dan diterapkan secara berkesan supaya setiap individu khusunya murid dan pelajar dapat menguasai kemahiran ini. Kemahiran membaca juga sebenarnya mempunyai hubungan yang rapat dengan kemahiran yang lain-lain seperti mendengar, bertutur dan menulis.
  • Membaca merupakan satu proses yang kompleks menghubungkan aspek pengetahuan, kebolehan, kemahiran mental dan fizikal. Pengetahuan yang dimaksudkan ialah mencakupi bahasa sesuatu bahan yang dibaca.


                  Di sini, disertakan beberapa definisi membaca menurut tokoh-tokoh :

1. Menurut Siti Hajar Abd Aziz (2009:143), membaca satu tindakan komunikasi iaitu satu proses berfikir yang melibatkan idea, kenyataan dan perasaan yang disampaikan oleh penulis kepada pembaca melalui perantara lambang-lambang bahasa.

2. Menurut Anderson dan Pearson (1984), membaca merupakan suatu proses pembentukan dan pemberian makna menerusi interaksi antara pembaca dengan bahan yang dibaca atau proses membina jambatan antara bahan yang dibaca dengan pengalaman latar si pembaca.

3. Menurut Mahzan Arshad (2008:158), membaca ialah satu proses yang dilakukan pembaca bagi membentuk atau memberikan makna terhadap teks yang dibacanya tersebut sebelum membuat keputusan.

4. Menurut Klein (dalam Farida Rahim, 2005:3), mengemukakan bahawa definsi membaca merupakan suatu proses. Maksudnya ialah membaca itu suatu proses mendapatkan informasi daripada teks dan pengetahuan yang dimiliki oleh pembaca.

5. Menurut Harris dan Sipay (1980), menyifatkan proses membaca sebagai proses untuk memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang lambang bercetak atau bertulis.

6. Menurut Kenedy (1981), mendefinisikan bacaan sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk visual  (lambang-lambang yang mewakili bahasa lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan), yang menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau makna bentuk tersebut dengan bunyi atau makna yang diketahui berdasarkan pengalaman atau pengetahuan kemudian dapat mentafsirkan serta memahami maksudnya.

7. Menurut Marohaini Yusoff (1989), telah merumuskan proses membaca sebagai perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Terdapat dua komponen kemahiran utama yang wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan  dan kemahiran kedua ialah kemahiran memahami apa-apa yang dibaca. Beliau telah merumuskan proses membaca seperti berikut :
i. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman serta pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan.
ii. Semasa membaca, seseorang perlu berfikir, merasai dan membayangkan apa yang dibaca.
iii. Seseorang murid perlu mempunyai tujuan, jangkaan, pengetahuan dan pengalaman lalu yang akan mempengaruhi apa yang akan dibacanya.                  
iv. Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti :
     a. Mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
     b. Mengaitkan lambang atau perkataan dengan bunyi atau makna.
     c. Menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di       
       dalam fikiran.                     
   d. Mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang 
       lengkap.                   
    e. Mencuba menghuraikan idea kepada orang lain.

8. Menurut Solah (1981) dan Abdul Aziz (1993), kefahaman dalam bidang bahasa dikaitkan dengan dua kemahiran berbahasa sahaja iaitu mendengar dan membaca. Ini adalah berdasarkan kepada kepekaan pendengar dan pembaca iaitu ketika melakukan aktiviti mendengar dan membaca, masing-masing menggunakan derian pendengaran dan deria penglihatan untuk memahami apa yang didengar dan apa yang dibaca. Oleh itu, kemahiran mendengar dan kemahiran membaca mempunyai persamaan dari aspek kefahaman bahasa.

9. Menurut Ismail Kusmayadi, membaca merupakan proses yang kompleks kerana proses ini melibatkan kegiatan fizikal dan mental.

10. Menurut Daud Firmansyah, membaca merupakan tahap penting dalam proses perkembangan anak kerana membaca merupakan gerbang pertama untuk menuju proses pembelajaran yang lebih kompleks.

11.  Menurut Burns DKK, (1984), membaca adalah suatu kegiatan kompleks yang melibatkan serangkaian proses mental kerana ia melibatkan dua hal dasar dalam membaca iaitu proses membaca dan produk membaca.

12. Menurut Rooijakers, membaca merupakan suatu cara atau suatu saranan untuk memelihara tingkat pengetahuan sendiri serta untuk menambah pengetahuan baru.

13. Menurut Hodgson (Tarigan H.G 2008:7), membaca adalah suatu proses yang dilakukan serta dipergunakan oleh pembaca untuk memperoleh pesanan yang hendak disampaikan oleh penulis. Proses ini menuntut agar kelompok kata yang merupakan suatu kesatuan akan terlihat dalam suatu pendangan sekilas dan agar makna kata-kata secara individual akan dapat diketahui. Tetapi apabila hal ini tidak dipenuhi, maka pesanan yang tersirat tidak akan dapat difahami dengan jelas maka proses membaca tidak akan terlaksana dengan baik.